Ekoran pergolakan, jutaan penduduk Sudan dikhuatiri diancam kelaparan

Ekoran pergolakan, jutaan penduduk Sudan dikhuatiri diancam kelaparan

Program Makanan Sedunia berkata, pertempuran yang berterusan menghalang pihaknya menghantar bekalan makanan yang amat diperlukan.

WFP terpaksa menghentikan penghantaran bantuan makanan ke Sudan susulan pergolakan yang berlaku di negara itu. (Gambar AP)
GENEVA:
Pergolakan di Sudan boleh menyebabkan berjuta-juta lagi penduduk diancam kelaparan, menurut Program Makanan Sedunia (WFP).

WFP terpaksa menghentikan penghantaran bantuan makanan ke Sudan susulan pergolakan itu.

Menurut kenyataan WFP pada Khamis, sebelum pertempuran tercetus pada 15 April lepas, terdapat jutaan penduduk Sudan yang bergelut dengan kelaparan dan pada tahun ini, WFP merancang untuk membantu lebih 7.6 juta orang, lapor Agensi Anadolu.

“Pertempuran yang berterusan menghalang WFP menghantar bekalan makanan yang amat diperlukan dan tidak dapat membantu petani meningkatkan pengeluaran gandum,” menurut WFP.

Setakat ini, tiga petugas WFP telah terbunuh dan dua lagi cedera parah akibat pertempuran itu.

Sekurang-kurangnya 10 kenderaan dan enam trak makanan telah dicuri.

Selain itu, rumah tamu, pejabat dan gudang WFP di bandar Nyala di Darfur Selatan telah ditawan dan 4,000 tan metrik makanan dicuri.

Justeru, WFP menggesa semua pihak untuk menamatkan pertempuran dan mencapai kesepakatan bagi membolehkan bantuan makanan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.