Anggota polis maut dalam serangan bom di Narathiwat

Anggota polis maut dalam serangan bom di Narathiwat

Serangan berlaku ketika enam anggota polis melakukan rondaan bermotosikal di Sungai Golok bersempadan dengan Bukit Bunga, Kelantan.

Polis Thailand berkata, serangan dilakukan menggunakan sebutir bom buatan sendiri dipasang pada tong gas dan ditanam di tepi jalan meletup setelah diaktifkan menggunakan walkie-talkie. (Gambar AP)
NARATHIWAT:
Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden letupan bom di daerah Waeng di Narathiwat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Waeng, Somjai Singkliang berkata kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi (waktu tempatan) ketika enam anggota polis sedang melakukan rondaan bermotosikal di Sungai Golok bersempadan dengan Bukit Bunga, Kelantan.

“Sebutir bom buatan sendiri dipasang pada tong gas dan ditanam di tepi jalan meletup setelah diaktifkan menggunakan walkie-talkie. Dua daripada enam anggota polis yang melakukan rondaan itu cedera parah dan dikejarkan ke hospital. Seorang anggota polis meninggal dunia di Hospital Waeng,” katanya.

Sementara itu, lapan anggota polis yang baru selesai melakukan rondaan cedera dalam insiden letupan bom di Saiburi, Pattani pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam (waktu tempatan), Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Saiburi, Phawich Krajangsi berkata seramai 11 anggota polis menaiki dua buah kenderaan dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Saiburi.

“Sebutir bom buatan sendiri yang dipasang pada tiang elektrik di tepi jalan telah diaktifkan dan meletup ketika kedua-dua kenderaan itu melalui tempat kejadian. Lapan daripada 11 anggota polis itu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pattani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.