
Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat anti-junta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.
Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.
Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan itu dan meminta pihak yang melakukannya agar bertanggungjawab.
Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.
Penduduk berkata, tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.
Kerajaan bayangan anti-junta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional menyifatkan serangan itu sebagai “perbuatan keji” dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah.