Cuba lolos, suspek militan Uzbek bunuh pegawai Indonesia

Cuba lolos, suspek militan Uzbek bunuh pegawai Indonesia

Tiga lelaki itu cuba melarikan diri dari pusat tahanan di Jakarta.

Polis Indonesia melancarkan usaha memburu tiga warga Uzbekistan itu. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Seorang pegawai imigresen maut selepas tiga suspek militan warga Uzbekistan cuba meloloskan diri dari pusat tahanan di Indonesia.

Polis berkata, seorang suspek berkenaan turut maut manakala dua yang lain berjaya ditahan.

Tiga lelaki itu ditahan pihak berkuasa Indonesia awal bulan ini bersama seorang lagi rakan senegara kerana disyaki menyebarkan propaganda militan dalam talian.

Menurut polis, mereka dikaitkan dengan kumpulan Katiba al Tawhid wal Jihad yang sehaluan dengan al-Qaeda.

Tiga suspek itu melarikan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Jakarta Utara awal semalam selepas menyerang pengawal termasuk ahli skuad antipengganas menggunakan pisau yang dicuri dari pantri, kata jurucakap polis Aswin Siregar.

Polis segera melancarkan usaha memburu suspek dengan dua daripadanya berjaya ditahan semula. Suspek ketiga mati lemas selepas terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri.

Seorang pegawai imigresen terbunuh manakala tiga yang lain parah dalam kejadian itu, kata Siregar.

“Mereka memecah masuk ke pantri dan menyerang pegawai berkenaan yang sedang bersahur sebelum waktu Subuh,” katanya.

“Ketika soal siasat, kami mendapat tahu mereka merancang untuk melarikan diri selepas dilawat pegawai konsulat Uzbekistan. Mereka tidak mahu diusir ke negara asal kerana menghadapi hukuman berat di situ,” katanya.

Uzbekistan melaksanakan langkah tegas untuk memerangi kumpulan bersenjata dan ekstremis agama, malah kerap dituduh menggunakan kekerasan berlebihan termasuk penyeksaan dan penahanan salah oleh kumpulan hak asasi manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.