
Punca letupan itu belum diketahui, kata pendakwa raya Marseille, Dominique Laurens.
Runtuhan itu menyebabkan kebakaran yang setakat ini belum dapat dikawal, merumitkan usaha menyelamat dan siasatan, katanya pada sidang media.
Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari runtuhan itu ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran, manakala anjing terlatih digunakan untuk mengesan mangsa.
“Kami kehilangan segala-galanya, malah kad pengenalan,” kata seorang lelaki yang hanya memberikan namanya sebagai Roland, dalam wawancara dengan akhbar tempatan La Provence.
Roland berjaya keluar dari bangunan di 15 Rue de Tivoli, sebelum ia runtuh bersama bangunan bersebelahan, bersama isteri dan dua anaknya.
Lima orang telah dibawa ke hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa.
Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin, yang melawat lokasi kejadian, berkata 30 bangunan di kawasan itu telah dikosongkan.
Pada 2018, kira-kira 1 km dari lokasi kejadian, tiga bangunan yang dianggap tidak sesuai untuk didiami runtuh, mengorbankan lapan orang.
Datuk Bandar Marseille berkata, tidak dapat dikenal pasti sama ada wujud persamaan antara kedua-dua kejadian itu, manakala menurut pendakwa raya, bangunan yang runtuh pada Ahad tidak diketahui mempunyai sebarang masalah struktur.