
Tiada kenyataan rasmi segera mengenai kemungkinan motif untuk kejadian keganasan senjata api itu, yang berlaku tidak lama selepas sesi persekolahan dimulakan di The Covenant School, yang kebanyakan muridnya menghadiri sekolah rendah.
Bagaimanapun, suspek telah melukis peta terperinci sekolah itu, termasuk pintu masuk, dan meninggalkan “manifesto” serta tulisan lain yang sedang diperiksa penyiasat, kata Ketua Polis John Drake pada taklimat.
Drake mengenal pasti suspek sebagai wanita transgender bernama Audrey Elizabeth Hale, 28, yang tinggal di kawasan Nashville. Menurut polis, Hale sebelum ini pernah menjadi murid di sekolah itu.
Jabatan Polis Metropolitan Nashville mula menerima panggilan kecemasan pada 10.13 pagi tentang kehadiran penembak di sekolah itu.
Pegawai yang tiba di lokasi kejadian melaporkan mendengar tembakan datang dari tingkat dua bangunan itu, kata jurucakap polis Don Aaron kepada pemberita.
Dua pegawai menembak penyerang itu di kawasan lobi. Dia kemudian disahkan meninggal dunia pada 10.27 pagi.
Penyerang itu berjaya masuk ke bangunan sekolah dengan menembak salah satu pintunya, kata ketua polis.
Selain tiga kakitangan dewasa yang ditembak mati oleh penyerang, tiga murid disahkan meninggal dunia selepas tiba di Hospital Kanak-Kanak Monroe Carell Jr, Vanderbilt, dengan luka tembakan.
Mangsa-mangsa dikenal pasti sebagai Cynthia Peak, 61; Katherine Koonce, 60; dan Mike Hill, 61; serta Evelyn Dieckhaus, Hallie Scruggs, dan William Kinney, kesemuanya berusia 9 tahun.
Bercakap di Washington mengenai kejadian tembakan terbaru di sekolah itu, Presiden Joe Biden menggesa Kongres AS sekali lagi agar meluluskan undang-undang reformasi senjata yang lebih ketat.
“Kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menghentikan keganasan senjata api. Ia menghancurkan komuniti kita, merobek jiwa negara ini,” katanya.
Pada 2021, Tennessee memansuhkan keperluan permit untuk membawa pistol tersembunyi. Kini sesiapa sahaja berusia 21 tahun ke atas di negeri itu dibenarkan membawa senjata api, sama ada secara terbuka atau tersembunyi, tanpa permit, selagi mereka dibenarkan secara sah untuk membeli senjata itu.
Bagaimanapun, mereka yang disabitkan dengan kesalahan jenayah melibatkan keganasan atau dadah dilarang memiliki pistol di negeri itu.
The Covenant School, yang terletak di kawasan kejiranan Green Hills, Nashville, diasaskan pada 2001, dan mempunyai kira-kira 200 murid, menurut laman sesawangnya.
Sekolah itu menyediakan perkhidmatan prasekolah hingga gred enam dan mengadakan program latihan menghadapi penembak aktif tahun lepas, lapor WTVF-TV.