PM UK gesa kurangkan ketegangan di Tebing Barat

PM UK gesa kurangkan ketegangan di Tebing Barat

Rishi Sunak mahu usaha dilakukan bagi 'meringankan tekanan' menjelang cuti keagamaan tidak lama lagi.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak menyuarakan kebimbangan antarabangsa berhubung ketegangan di Tebing Barat akan menjejaskan penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel. (Gambar AP)
LONDON:
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak memberitahu rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu mengenai kebimbangan antarabangsa terhadap ketegangan semakin meningkat di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.

Semasa pertemuan dengan Netanyahu di Downing Street, Sunak menyatakan solidaritinya terhadap rakan sejawatannya itu dalam menghadapi “serangan pengganas” dan UK akan sentiasa menyokong Israel.

“Pada masa yang sama, PM menyuarakan kebimbangan antarabangsa mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Tebing Barat dan risiko yang menjejaskan usaha ke arah penyelesaian dua negara,” kata Sunak dalam kenyataan.

Sunak mahu “semua usaha dilakukan bagi meringankan tekanan”, terutama menjelang cuti keagamaan yang akan datang, katanya.

Perdana menteri Britain itu menekankan akan kepentingan untuk menegakkan nilai demokrasi yang menyokong hubungan antara kedua-dua negara, termasuk cadangan pembaharuan sistem kehakiman di Israel.

Israel berhadapan bantahan besar-besaran selama berminggu-minggu selepas Menteri Kehakiman Yariv Levin mencadangkan pelan pembaharuan sistem kehakiman yang dilihat sebagai “perubahan paling radikal” dalam sistem negara itu.

Dalam perbincangan itu, Sunak dan Netanyahu turut menyambut baik pemeteraian “Pelan Hala Tuju UK-Israel 2030”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.