Myanmar tahan 150 Rohingya cuba larikan diri ke Malaysia

Myanmar tahan 150 Rohingya cuba larikan diri ke Malaysia

Sebilangan individu bukan Rohingya yang disyaki memperdagangkan kumpulan itu turut ditahan.

Rohingya dilihat secara meluas di Myanmar sebagai penceroboh dari Bangladesh, dinafikan kewarganegaraan, serta akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan. (Gambar AP)
YANGON:
Pihak berkuasa Myanmar menahan kira-kira 150 Rohingya yang disyaki cuba melarikan diri ke Malaysia, kata seorang pegawai kepada AFP hari ini.

Kumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak itu ditahan di perbandaran Thanbyuzayat di selatan Myanmar, kata pegawai itu, meminta namanya dirahsiakan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.

Pegawai itu tidak menyatakan sebab kumpulan itu ditangkap, tetapi minoriti Islam itu berdepan sekatan ke atas perjalanan dalam Myanmar, di mana kumpulan hak asasi manusia mengatakan mereka hidup dalam keadaan seperti apartheid.

“Mereka bersembunyi berdekatan di dalam hutan berbukit antara dua kampung. Kami mula menahan mereka sejak lewat malam tadi selepas mendapat maklumat,” kata sumber keselamatan itu.

Menurut laporan awal, kumpulan itu telah mengembara dengan bot dari Rakhine barat dan merancang untuk pergi ke Thailand dan kemudian ke Malaysia melalui jalan darat, kata pegawai itu.

Sebilangan individu bukan Rohingya yang disyaki memperdagangkan kumpulan itu turut ditahan, dan polis sedang mencari kira-kira 30 orang lagi, menurut sumber itu.

Tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017 menyebabkan ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan kisah ngeri pembunuhan, rogol dan dibakar.

Myanmar menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan penghijrahan beramai-ramai itu.

Rohingya yang seringkali dilihat secara meluas di Myanmar sebagai penceroboh dari Bangladesh, dinafikan kewarganegaraan, serta akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan serta memerlukan permit untuk melakukan perjalanan.

Tangkapan dibuat beberapa hari selepas junta berkata ia akan mula mengalu-alukan kembali anggota minoriti yang tinggal di Bangladesh dalam program perintis penghantaran pulang.

Rancangan itu akan menyaksikan Myanmar ‘memulangkan kira-kira 1,500 orang’, media negeri memetik pegawai hal ehwal sempadan sebagai berkata.

Pegawai ha ehwal sempadan itu tidak memberikan jadual waktu tertentu dan menambah Myanmar ‘belum menerima sebarang maklum balas lagi’ terhadap rancangan itu.

Rohingya yang pulang akan ditempatkan di kem transit untuk tempoh yang singkat sebelum ditempatkan semula di 15 kampung, kata pegawai itu.

“Untuk keselamatan mereka, kami mempunyai balai polis berhampiran 15 kampung itu,” katanya.

Ribuan warga Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melakukan perjalanan berbahaya dari kem di Bangladesh dan Myanmar untuk sampai ke Malaysia dan Indonesia yang majoritinya Muslim.

Ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing, yang telah menolak identiti Rohingya sebagai “khayalan”, adalah ketua angkatan tentera semasa tindakan keras itu pada 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.