Pelajar perempuan sekolah agama ditembak di Pattani

Pelajar perempuan sekolah agama ditembak di Pattani

Mangsa ditembak di pekarangan masjid ketika sedang berbual dengan ibunya.

Mangsa berusia 14 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian belakang dan dada serta disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. (Gambar Fail)

PATTANI (Thailand): Seorang pesakit mental menembak mati seorang pelajar perempuan dalam satu kejadian di pekarangan sebuah masjid di Pattani, Thailand.

Ketua Polis Muang Jefferi Saimankul, berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, apabila suspek seorang penolong ketua kampung berusia 49 tahun, melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang berbual dengan ibunya, di depan sebuah masjid di Mueang Pattani.

Beliau berkata, suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda telah melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa yang berusia 14 tahun itu merupakan pelajar perempuan sebuah sekolah agama swasta.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian belakang dan dada serta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan pacuan empat rodanya berjaya dikesan bersembunyi di sebuah rumah saudaranya. Selepas dua jam dipujuk, suspek menyerah diri.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, polis mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang sedang mendapatkan rawatan dengan mengambil ubat disarankan doktor,” katanya kepada Bernama.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.