Projek hidroelektrik Mentarang manifestasi kerjasama baik Indonesia-Malaysia, kata Jokowi

Projek hidroelektrik Mentarang manifestasi kerjasama baik Indonesia-Malaysia, kata Jokowi

Presiden Indonesia itu turut meluahkan rasa gembira dan percaya projek bernilai USD2.6 bilion berkenaan mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyatnya.

Joko Widodo yakin projek hidroelektrik itu mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Indonesia. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Penyertaan Malaysia dalam projek stesen jana kuasa hidroelektrik di Kalimantan Utara adalah manifestasi kerjasama baik antara kedua-dua negara, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut meluahkan rasa gembira dengan perkembangan itu dan percaya projek bernilai USD2.6 bilion berkenaan mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyatnya.

“Saya sangat gembira kerana projek stesen jana kuasa hidroelektrik Mentarang telah bermula.

“Dan, saya lebih gembira projek ini dilakukan oleh konsortium Indonesia-Malaysia, menunjukkan kita sebagai saudara benar-benar boleh bekerjasama dengan baik,” katanya di majlis pecah tanah di Malinau, yang turut dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Projek hidroelektrik Mentarang akan menjana 1,375 megawatt tenaga elektrik untuk zon industri Kalimantan Utara, dan pembinaan dijangka bermula suku pertama 2024 serta siap sepenuhnya pada penghujung 2029.

Pembinaan itu melibatkan syarikat pegangan pelaburan Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara dan syarikat pembekal tenaga utama milik kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Bhd.

Menurut pejabat Sekretariat Presiden, Jokowi turut meninjau Kawasan Kalimantan Industrial Park (KKIP) seluas 13,000 hektar di Bulungan, sebuah industri pengeluaran bateri elektrik, petrokimia dan alumunium.

“Tenaga elektrik dari projek hydro Mentarang akan disalurkan ke KKIP,” kata Jokowi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.