Kurangkan bantuan makanan di Cox’s Bazar bukan penyelesaian

Kurangkan bantuan makanan di Cox’s Bazar bukan penyelesaian

Program Makanan Sedunia (WFP) mengurangkan bantuan makanan kerana kekurangan dana.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) bimbang lebih ramai pelarian meninggalkan kem dan jatuh ke tangan penyeludup manusia. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) terkejut dengan keputusan Program Makanan Sedunia (WFP) memotong bantuan makanan Rohingya di Kem Pelarian Cox’s Bazar, di Bangladesh.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani, berkata menjelaskan tindakan itu memaksa mereka meninggalkan kem dan lebih ramai pelarian Rohingya akan jatuh ke tangan penyeludup manusia.

“Jumlah pelarian, terutama kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan adalah di luar jangkaan. Lebih ramai wanita akan dipaksa melacur dan lebih ramai kanak-kanak akan menjadi buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.

Merhrom berharap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), WFP, UNHCR, agensi dan negara penderma, kerajaan Bangladesh dan masyarakat antarabangsa mencari penyelesaian mampan untuk menangani masalah semasa di kem pelarian termasuk keselamatan, krisis makanan dan jenayah.

WFP awal bulan itu mengumumkan pihaknya terpaksa mengurangkan bantuan untuk semua pelarian Rohingya di Cox’s Bazar kerana kekurangan dana selepas krisis pelarian Rohingya berlanjutan hampir enam tahun.

WFP memaklumkan mulai 1 Mac, nilai baucar bantuan makanan am akan dikurangkan daripada USD12 kepada USD10 setiap seorang sebulan.

Merhrom juga menyarankan agar PBB, pemimpin dunia, CSO, NGO dan masyarakat antarabangsa meningkatkan tindakan bagi menamatkan genosid Rohingya, WFP dan negara penderma menghentikan rancangan mengurangkan bantuan makanan, merangka strategi untuk bekalan makanan yang mampan, mewujudkan platform bagi pelarian Rohingya menjana pendapatan daripada kem pelarian dan membenarkan Rohingya bekerja untuk menyara keluarga mereka.

Ribuan masyarakat Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada 2017 akibat penganiayaan etnik dengan kebanyakan berakhir di kem pelarian di Cox’s Bazar di negara jiran Bangladesh.

Malaysia juga menjadi tuan rumah kira-kira 200,000 pelarian Rohingya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.