PM UK timbang naik gaji penjawat awam 5%

PM UK timbang naik gaji penjawat awam 5%

Sejak beberapa bulan lalu, negara itu berdepan siri mogok penjawat awam susulan tidak puas hati terhadap kenaikan harga tenaga dan inflasi melambung.

Perdana Menteri United Kingdom (UK) Rishi Sunak berhasrat menaikan gaji penjawat awam dalam usaha menamatkan tindakan mogok. (Gambar AP)
MOSCOW:
Perdana Menteri United Kingdom (UK) Rishi Sunak sedang menimbang menaikan gaji pekerja sektor awam sebanyak 5% bagi menamatkan gelombang mogok susulan rangsangan luar jangka diterima oleh perbendaharaan negara itu sebanyak 30 bilion pound (USD36.36 bilion), lapor Sputnik memetik laporan Financial Times.

Memo dipetik media menyebut, kenaikan gaji 5% bagi penjawat awam pada 2023-2024 mempunyai “risiko rendah” dalam penetapan penanda aras untuk pertumbuhan gaji sektor swasta.

Langkah itu dibuat selepas angka rasmi menunjukkan pinjaman awam berkemungkinan 30 bilion paun lebih rendah daripada jangkaan, disebabkan penerimaan cukai tinggi, penurunan harga tenaga dan pelaburan awam yang rendah.

Unjuran baharu kewangan awam itu memberi peluang kepada Sunak menawarkan kenaikan gaji ketika kerajaannya berusaha menamatkan tindakan mogok yang mendominasi politik dalam kepimpinannya.

Media memetik sumber kerajaan sebagai berkata, London sedang mempertimbang kenaikan gaji kira-kira 5% untuk pekerja sektor awam tahun depan selain bayaran terbelakang, walaupun angka itu berada di bawah unjuran inflasi 5.5% untuk tahun depan.

UK menyaksikan beberapa siri mogok penjawat awam sejak beberapa bulan lalu ekoran rasa tidak puas hati terhadap situasi ekonomi yang semakin buruk disebabkan kenaikan harga tenaga dan inflasi melambung tinggi.

Pekerja syarikat kereta api, pejabat pos, lapangan terbang dan peguam adalah antara sektor yang menyertai demonstrasi.

Badan penyiar UK Sky News yang memetik data dari Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) negara itu, menyatakan jumlah hari bekerja yang hilang akibat pertikaian buruh pada Disember berjumlah 843,000 jam, menjadikan jumlah hari mogok dari Jun hingga Disember 2022 kepada 2,471,000 jam, angka tertinggi sejak 1989.

Pada akhir Januari, ONS berkata, jumlah pinjaman awam di UK pada Disember 2022 mencecah 27.4 bilion pound, angka tertinggi pada Disember dalam sejarah UK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.