4 mayat dengan kesan tembakan ditemui di Narathiwat

4 mayat dengan kesan tembakan ditemui di Narathiwat

Mayat berkenaan ditemui di dua lokasi berbeza tetapi polis percaya kes itu mempunyai kaitan.

Polis berkata, tiga mayat ditemui dalam kereta yang tenggelam di dalam tasik manakala satu lagi mayat ditemui tersangkut di celah batu di tebing sungai di daerah Weng, Narathiwat, Thailand.
NARATHIWAT:
Polis Thailand mengesahkan empat mayat lelaki dipercayai mangsa tembak ditemukan di dua lokasi di Narathiwat, selatan negara itu.

Ketua Polis Weng, Chalong Leknoi berkata semua mayat itu mempunyai beberapa kesan tembakan.

Beliau berkata tiga mayat lelaki ditemukan dalam but sebuah kereta di dalam tasik di Kampung Cherang, Weng, Narathiwat kira-kira 6 petang (waktu tempatan) semalam manakala satu mayat lelaki dengan kesan tembakan dijumpai orang awam kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) Rabu.

Chalong berkata orang awam membuat laporan polis selepas menjumpai sebuah kereta di dalam tasik kira-kira 6 petang (waktu tempatan) semalam.

“Hasil pemeriksaan polis menemukan tiga mayat lelaki dalam but kereta itu. Ketiga-tiga mayat tanpa baju dengan kesan tembakan dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.

“Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dibunuh dan mayat mereka disumbat dalam but kereta sebelum ditenggelamkan ke dalam tasik,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa berusia antara 19 dan 38 tahun berasal dari Sungai Kolok dan Sukhirin, Narathiwat mempunyai kesan tembakan di bahagian dada dan kepala.

“Siasatan juga mendapati dua daripada mangsa terlibat dengan sindiket dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam insiden kedua, Chalong berkata orang awam menemukan mayat lelaki dengan kesan tembakan tersangkut di celah batu di sungai berdekatan Kampung Air Pasir di Daerah Weng, Narathiwat kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Katanya, lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dilaporkan hilang empat hari yang lalu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kes ini mempunyai kaitan.

“Polis mengenal pasti 10 suspek yang terlibat dalam kedua-dua kes ini,” katanya.

Chalong berkata polis mempergiat siasatan termasuk pemeriksaan rakaman CCTV untuk menjejaki suspek yang terlibat.

“Bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti semua mayat dijalankan Hospital Songklanagarind,” katanya.

Motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.