Tempah tren terlalu besar, 2 pegawai pengangkutan Sepanyol letak jawatan

Tempah tren terlalu besar, 2 pegawai pengangkutan Sepanyol letak jawatan

Kementerian Pengangkutan Sepanyol menerima peletakan jawatan dua pegawai kanannya selepas berlaku kesilapan dalam tempahan 31 tren komuter.

Tren ditempah Sepanyol digunakan bagi mengantikan tren di wilayah Asturias dan Cantabria namun kesilapan reka bentuknya boleh melambatkan projek berkenaan. (Gambar Wikipedia)

OVIEDO (SEPANYOL): Dua pegawai kanan pengangkutan Sepanyol meletak jawatan pada Isnin selepas 31 tren komuter yang ditempah didapati terlalu besar dan tidak muat melalui terowong.

Kementerian Pengangkutan telah menerima peletakan jawatan setiausaha negara bagi pengangkutan, Isabel Pardo de Vera dan presiden syarikat keretapi negeri Renfe, Isaias Taboas, lapor Agensi Anadolu.

Tren yang ditempah pada 2020 itu sepatutnya digunakan bagi menggantikan tren di wilayah Asturias dan Cantabria dalam beberapa bulan akan datang. Bagaimanapun, kesilapan reka bentuk itu boleh melambatkan projek itu.

“Dalam tempoh 40 tahun kerjaya politik, saya tidak pernah melihat keadaan huru-hara seperti itu,” kata Presiden Cantabria, Miguel Angel Revilla pada sidang akhbar.

Menteri pengangkutan Sepanyol memohon maaf atas kesilapan itu dan menyalahkan pentadbiran pusat sebelum ini yang gagal membekalkan tren baharu kepada dua wilayah itu sejak 2006.

Pemimpin wilayah berkenaan berkata akibat kesilapan itu penduduk Asturias dan Cantabria wajar diberikan perkhidmatan tren secara percuma sehingga tren baharu beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.