Polis Thailand tahan bekas isteri warga Malaysia ditembak

Polis Thailand tahan bekas isteri warga Malaysia ditembak

Wanita warga Thailand berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Betong pada Khamis.

Polis berkata kedua-dua suspek dikenalpasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Chantharothai, bandar Betong, selatan Thailand. (Gambar Freepik)

YALA (Thailand): Bekas isteri kepada warga Malaysia yang parah ditembak oleh penyerang tidak dikenali dalam satu kejadian di Jalan Chantharothai, bandar Betong, wilayah Yala di selatan Thailand pada Sabtu lalu antara ditahan polis Thailand bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Betong, Sanya Thongsawat mengesahkan individu warga Thailand berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Betong pada Khamis.

Pada hari sama, beliau berkata, polis juga menahan seorang lelaki yang merupakan suspek utama kes tembak itu di sebuah stesen minyak di Chana, Songkhla selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap.

“Polis berjaya mengenalpasti kedua-dua suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kawasan berdekatan.

“Suspek lelaki mengakui pernah bertelingkah dan berdendam dengan mangsa ketika bekerja di pusat hiburan milik suspek wanita (bekas isteri mangsa) sehingga menembak mangsa pada 11 Feb lalu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sanya berkata, suspek lelaki juga mengaku bahawa pistol digunakan ketika kejadian dan dibuang di tepi jalan ketika dalam perjalanan ke Songkhla manakala motosikalnya telah disembunyikan di Betong.

“Bekas isteri mangsa dipercayai membantu suspek melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya.

Pada Sabtu lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 55 tahun dilaporkan cedera parah di perut dan paha selepas terkena tiga das tembakan di hadapan sebuah kedai serbaneka, 9 malam (waktu tempatan).

Mangsa dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.