Pegawai polis maut, 4 cedera dalam serangan bom di Yala

Pegawai polis maut, 4 cedera dalam serangan bom di Yala

Bom yang ditanam di tepi jalan diletupkan ketika kenderaan yang membawa anggota polis itu tiba di lokasi kejadian.

Komander Tentera Bahagian Ke-4, Kriangkrai Srirak mengarahkan pihak berkuasa mempergiatkan usaha menjejaki dalang di sebalik letupan itu.
YALA:
Seorang pegawai polis maut manakala empat lagi cedera dalam satu serangan bom di Bannang Sata di Yala, Thailand.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika sekumpulan anggota polis diketuai ketua siasatan jenayah Balai Polis Bannang Sata yang menaiki sebuah pikap dalam perjalanan ke satu lokasi kejadian serangan khianat yang berlaku pada malam Khamis.

Enam buah kenderaan di dua lokasi di Bannang Sata dilaporkan terbakar dalam serangan khianat itu.

Ketua Polis Bannang Satar, Ranon Surawit berkata sebutir bom dipercayai ditanam di tepi jalan diletupkan menggunakan ‘walkie-talkie’ apabila pikap yang dinaiki anggota itu tiba di lokasi kejadian.

“Akibat letupan yang kuat, pikap itu terbabas. Sekumpulan lelaki dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berdekatan turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ranon berkata ketua siasatan jenayah Balai Polis Bannang Sata terkena serpihan bom dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat lagi anggota polis yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Damrongsak Kittiprapas mengarahkan polis mempergiatkan usaha menjejaki dalang di sebalik letupan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.