Gempa Turki: Remaja ditemui hidup

Gempa Turki: Remaja ditemui hidup

Gadis berusia 17 tahun itu dikeluarkan dari runtuhan bangunan lebih 10 hari selepas gempa bumi melanda, namun harapan semakin pudar untuk menemui mangsa terselamat lain.

Beberapa orang ditemui hidup semalam, namun harapan menemui mangsa terselamat semakin pudar. (Gambar AP)
KAHRAMANMARAS:
Seorang remaja perempuan dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Turki, lebih 10 hari selepas gempa bumi melanda.

Malangnya, harapan menemui mangsa terselamat semakin pudar menyebabkan rasa marah dan sedih meningkat dalam kalangan rakyat.

Gadis berusia 17 tahun itu dikeluarkan dari runtuhan bangunan apartmen di Kahramanmaras 248 jam selepas gempa dengan magnitud 7.8 itu melanda pada 6 Februari, lapor badan penyiar TRT Haber.

Gempa bumi itu membunuh sekurang-kurangnya 36,187 di selatan Turki manakala 5,800 kematian dilaporkan di Syria.

Walaupun beberapa mangsa terselamat ditemui hidup semalam, bilangannya semakin berkurangan.

Anggota keluarga mangsa khususnya semakin menyuarakan kritikan terhadap amalan pembangunan dan pembandaran yang dikaitkan dengan rasuah, melihat kepada kemusnahan ribuan bangunan dalam bencana itu.

Sevil Karaabduloglu yang menanti berita dua anak perempuannya di luar runtuhan bangunan Renaissance Residence berkata beliau sekeluarga menyewa kediaman di situ kerana mempercayainya kawasan elit dan selamat.

“Masakan saya tahu kontraktor membinanya sebegini?

“Semua orang cuma mahu mengaut keuntungan. Mereka semua bersalah,” katanya.

Turki berjanji menyiasat sesiapa yang disyaki bertanggungjawab atas runtuhan bangunan itu dan mengarahkan penahanan lebih 100 suspek termasuk pemaju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.