
Duangpetch Promthep atau lebih mesra dipanggil Dom, menghadiri akademi bola sepak di Britain.
Remaja itu kapten pasukan “Wild Boars” yang menarik perhatian dunia selepas usaha menyelamat mereka yang disertai penyelam antarabangsa bersama tentera laut Thailand.
Punca kematian Dom, 17, tidak diketahui.
Berita itu dikongsikan di media sosial oleh seorang sami Buddha yang juga bekas guru kumpulan remaja berkenaan di sekolah mereka di Chiang Rai, utara Thailand.
“Duangpetch Promthep telah pergi ke alam lain,” kata Supatpong Methigo di Facebook.
“Saya berharap dia dilahirkan semula dan sekali lagi menjadi pelajar saya di kehidupan akan datang.”
Reuters tidak dapat mengesahkan kematian itu. Supatpong berkata beliau dimaklumkan mengenai berita itu oleh nenek Duangpetch yang menyatakan remaja itu kemalangan.
Pada Jun 2018, kumpulan remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun itu bersama pembantu jurulatih mereka, memasuki gua Tham Luang sebelum terperangkap akibat banjir.
Mereka ditemui sembilan hari kemudian dan usaha menyelamat rumit kemudian dilaksanakan, yang turut melihat kematian seorang penyelam Thai.
Selepas diselamatkan, kesemuanya dijemput menyaksikan perlawanan bola sepak Manchester United, selain kisah menjadi subjek buku, dokumentari dan filem termasuk siri “Thai Cave Rescue” di Netflix.