Gempa Turki: 5 mangsa ditemui selamat

Gempa Turki: 5 mangsa ditemui selamat

Seorang lelaki dan wanita dikeluarkan dari runtuhan lebih seminggu selepas bencana.

Muhammad Enes Yeninar, 17, dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Kahramanmaras. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya lima mangsa diselamatkan dari runtuhan bangunan di Turki, lapan hari selepas gempa terburuk melanda dalam sejarah moden negara itu.

Seorang lelaki dan wanita dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Hatay kira-kira 204 jam selepas gempa melanda rantau itu dan sebahagian barat laut Syria, lapor media Turki.

Awal Selasa, Muhammad Cafer, 18, dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Adiyman, selatan Turki kira-kira 198 jam selepas gempa bumi pada Isnin lalu, lapor CNN Turk.

Rakaman disiarkan menunjukkan anggota penyelamat mengusung Cafer dari runtuhan itu memasuki ambulans. Cafer juga dilihat menggerak-gerakkan jarinya.

Sejurus sebelum itu, anggota penyelamat menarik keluar Muhammad Enes Yeninar, 17, dan abangnya Baki Yeninar, 21, dari sebuah apartmen runtuh di Kahramanmaras.

Angka kematian di Turki dan Syria kini melebihi 37,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.