Singapura longgarkan sekatan Covid untuk pengembara

Singapura longgarkan sekatan Covid untuk pengembara

Pelitup muka juga tidak lagi diwajibkan dipakai ketika menaiki pengangkutan awam selepas pihak berkuasa menurunkan tahap penularan daripada "kuning" kepada "hijau".

Pihak berkuasa Singapura menurunkan tahap penularan Covid daripada ‘kuning’ kepada ‘hijau. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura melonggarkan syarat kemasukan bagi pengembara yang belum menerima vaksinasi penuh dengan tidak lagi perlu menunjukkan hasil ujian saringan Covid19 atau membeli insurans perjalanan bermula 13 Feb ini.

Pelitup muka juga tidak lagi diwajibkan dipakai ketika menaiki pengangkutan awam selepas pihak berkuasa menurunkan tahap penularan daripada “kuning” kepada “hijau”, menandakan Covid-19 bukan ancaman.

Timbalan perdana menteri merangkap pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19, Lawrence Wong, bagaimanapun berkata penggunaan pelitup muka masih diwajibkan di pusat kesihatan.

“Situasi Covid-19 di Singapura kekal stabil sejak beberapa bulan lalu, walaupun terdapat peningkatan perjalanan khususnya ketika musim percutian hujung tahun serta peralihan China daripada sifar Covid-19.

“Populasi kami berhasil membangunkan kadar imuniti hibrid yang tinggi,” katanya menerusi taklimat kepada media.

Wong berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan, kira-kira 80% daripada 5.6 juta penduduk sudah menerima perlindungan minimum menerusi vaksinasi Covid-19 dan separuh daripadanya mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Kami terpaksa berdepan dengan sebarang perkara luar jangka. Namun, kami berjaya mengharunginya bersama kerana semua pihak melakukan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata orang awam boleh menyahaktifkan aplikasi pengesanan kontak Covid-19 dan kerajaan sudah memadam semua maklumat identiti daripada pelayan serta pangkalan datanya.

Sejak April tahun lalu, Singapura sudah melonggarkan kebanyakan sekatan Covid-19 dengan banyak acara bertaraf antarabangsa kembali dianjurkan bagi menarik kehadiran pelancong asing serta perniagaan.

Malah, Singapura menjangkakan sektor pelancongannya kembali pulih menjelang 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.