Ratusan kontena terbakar di pelabuhan Turki

Ratusan kontena terbakar di pelabuhan Turki

Rakaman dron menunjukkan asap hitam berkepul dan bomba berusaha memadamkan kebakaran besar itu.

Ratusan kontena terbakar di pelabuhan Iskenderun yang juga lokasi gempa bumi.
ISKENDERUN:
Ratusan kontena kapal terbakar di pelabuhan Iskenderun yang turut terjejas akibat gempa besar melanda Turki pada Isnin.

Pihak berkuasa maritim Turki berkata pelabuhan di wilayah Hatay, selatan Turki, turut mengalami kerosakan akibat gempa bumi yang melanda negara itu dan Syria.

Rakaman dron menunjukkan asap hitam berkepul dan bomba berusaha memadamkan kebakaran besar itu.

Agensi perkapalan Turki Tribeca berkata, beberapa kawasan kargo pelabuhan Limak di kompleks Iskenderun masih dijilat api, dan terminal ditutup operasi sehingga notis selanjutnya.

Kumpulan perkapalan kontena dunia AP Moller Maersk berkata kerosakan teruk berlaku terhadap infrastruktur logistik dan pengangkutan di sekitar pusat gempa, termasuk di pelabuhan Iskenderun.

“Kami perlu menukarkan destinasi semua kapal yang menghala ke pelabuhan itu ke hab berhampiran termasuk pelabuhan Mersin (di Turki) dan Said (Mesir),” menurut kenyataan syarikat.

Sumber berkata berdasarkan asap dan api yang dilihat, kebakaran itu berkemungkinan berpunca daripada kontena berisi minyak perindustrian.

Kontena lain turut dilihat bergelimpangan atas jalan yang menyukarkan akses anggota kecemasan.

Lebih 1,200 bangunan musnah dalam gempa bumi itu di wilayah Hatay saja.

Iskenderun adalah kawasan perindustrian dan antara dua hab kontena utama di tenggara Turki. Pelabuhan itu lebih mengkhususkan perdagangan domestik, menurut sumber perkapalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.