Penyiasat nahas MH17 akan dedah penemuan baharu bulan depan

Penyiasat nahas MH17 akan dedah penemuan baharu bulan depan

Penemuan itu dijangka berkait dengan siasatan tentang siapa sebenarnya yang menembak peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu di timur Ukraine pada 2014.

Pada 17 Julai 2014, kesemua 298 orang di dalam pesawat Malaysia Airlines MH17 terbunuh apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah. (Gambar AP)
THE HAGUE:
Penyiasat antarabangsa berkata, bulan depan, mereka akan mendedahkan hasil siasatan ke atas “pihak lain” yang terlibat dalam menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17, selepas tiga individu didapati bersalah tahun lepas.

Penemuan itu dijangka berkait dengan siasatan tentang siapa sebenarnya yang menembak peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu di timur Ukraine pada 2014, dan siapa yang asalnya membekalkan bedilan buatan Rusia.

Kedua-dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup secara absentia pada November kerana membunuh oleh mahkamah Belanda tidak didapati melepaskan pencetus, tetapi hanya membantu membawa peluru berpandu ke Ukraine.

Namun dalam sidang akhbar di The Hague pada 8 Feb, penyiasat akan mendedahkan “hasil siasatan yang sedang dijalankan ke atas pihak lain yang terlibat dalam penjatuhan pesawat MH17”, kata Pasukan Siasatan Bersama (JIT) dalam kenyataan.

Ahli keluarga mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu, katanya.

“Selain penglibatan DPR (Republik Rakyat Donetsk), JIT juga menyiasat anak kapal Buk-Telar dan mereka yang bertanggungjawab membekalkan sistem senjata Rusia yang menjatuhkan MH17.”

Hakim Belanda mendapati warga Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, serta Leonid Kharchenko dari Ukraine ialah ahli kumpulan pemisah DPR, yang dikawal oleh Moscow.

Hakim bagaimanapun berkata, tidak jelas siapa yang sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu Buk itu ketika pesawat ditembak jatuh.

Kesemua 298 orang di dalam pesawat itu terbunuh apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah pada 17 Julai 2014.

Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam menembak jatuh pesawat itu, atau dalam mengawal kumpulan pemisah.

JIT terdiri daripada ahli dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, negara yang paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu.

Hakim hak asasi Eropah di Strasbourg pada Isnin secara berasingan memutuskan bahawa kebanyakan aduan yang dikemukakan oleh Belanda mengenai MH17 boleh diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.