Penerbangan dron oleh Korea Utara, Korea Selatan langgar gencatan senjata

Penerbangan dron oleh Korea Utara, Korea Selatan langgar gencatan senjata

Markas PBB berkata, pencerobohan oleh kedua-dua negara itu adalah satu bentuk pelanggaran.

Korea Utara telah melakukan sejumlah rekod pelancaran peluru berpandu dan ujian senjata lain (Gambar AP)
SEOUL:
Korea Utara dan Korea Selatan melanggar gencatan senjata yang mengawal perkongsian sempadan kedua-dua negara berkenaan dengan menerbangkan dron ke ruang udara masing-masing pada Disember lalu, kata Markas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Lima dron Korea Utara didapati merentas ke Korea Selatan pada 26 Disember mendorong tentera Korea Selatan mengeluarkan jet pejuang dan helikopter sebelum pergi ke Korea Utara untuk mengambil gambar persediaan tentera di Korea Utara.

Markas PBB yang membantu mengawasi Zon Demiliterisasi antara kedua-dua Korea sejak gencatan senjata menamatkan pertempuran dalam Perang Korea 1950-1953, menjalankan siasatan khas mengenai pencerobohan ruang udara bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran gencatan senjata.

Markas itu dalam satu kenyataan berkata, pencerobohan oleh kedua-dua negara itu adalah satu bentuk pelanggaran.

Bagaimanapun, tindakan Korea Selatan untuk menembak jatuh dron di ruang udaranya tidak melanggar gencatan senjata.

“Pematuhan kepada syarat gencatan senjata berkenaan adalah penting bagi mengurangkan risiko kedua-dua insiden yang tidak disengajakan dan disengajakan melalui peningkatan pencegahan dan bagi memelihara pemberhentian permusuhan di semenanjung Korea,” kata kenyataan itu.

Penggunaan dron tentera Korea Selatan di kawasan di sepanjang sempadan Korea Utara adalah langkah mempertahankan diri terhadap pencerobohan dron dari Korea Utara dan tidak dihadkan oleh Perjanjian Gencatan Senjata, menurut Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Sementara itu, Korea Utara tidak mengulas secara terbuka mengenai insiden dron berkenaan.

Ketegangan antara kedua-dua negara berkenaan telah meningkat.

Untuk rekod, Korea Utara melakukan pelancaran peluru berpandu dan ujian senjata lain.

Manakala, Korea Selatan bertindak balas dengan meningkatkan aktiviti ketenteraan termasuk latihan bersama dengan sekutunya AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.