
Menurut kenyataan itu, “membiarkan tindakan anti-Islam yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali.”
Turki menyeru pihak berkuasa Sweden mengambil langkah perlu terhadap jenayah kebencian itu kerana perbuatan itu satu lagi contoh Islamofobia, gerakan perkauman dan diskriminasi di Eropah yang amat membimbangkan.
Kementerian itu juga menggesa semua negara serta pertubuhan antarabangsa untuk mengambil langkah konkrit sebagai solidariti menentang Islamofobia.
Kenyataan Turki itu dibuat selepas ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan telah mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki, di Stockholm, pada Sabtu.
Susulan itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson yang akan ke Turki.
Kementerian Luar Turki pada Jumaat turut memanggil Duta Sweden ke Ankara Staffan Herrstrom.
Minggu lalu, Turki meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turki dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai Nato, Mei lalu.
Bagaimanapun, Turki yang juga ahli Nato selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (Feto).