Pengeluaran ubat batuk punca kematian 18 kanak-kanak dihentikan

Pengeluaran ubat batuk punca kematian 18 kanak-kanak dihentikan

Kementerian Kesihatan Uzbekistan memaklumkan sekurangnya 18 kanak-kanak maut selepas mengambil ubat batuk dikeluarkan syarikat India, Marion Biotech Pvt Ltd.

Syarikat farmaseutikal di India, Marion Biotech Pvt Ltd menghentikan pengeluaran ubat batuk sementara menunggu siasatan daripada kerajaan. (Gambar Freepik)
NEW DELHI:
Marion Biotech iaitu syarikat farmaseutikal di India memaklumkan pihaknya menghentikan pengeluaran ubat batuk susulan kematian 18 kanak-kanak di Uzbekistan.

“Kami kesal dengan kematian itu. Kerajaan sedang menjalankan siasatan. Kami akan mengambil tindakan berdasarkan laporan itu.

“Sampel telah dikumpulkan dan penghasilan produk itu telah dihentikan setakat ini,” media tempatan memetik wakil syarikat sebagai berkata.

Kementerian Kesihatan Uzbekistan sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak maut selepas mengambil ubat batuk yang dikeluarkan Marion Biotech Pvt Ltd.

Menurut laporan, ubat itu mengandungi ethylene glycol dalam jumlah yang tidak sepatutnya.

Pihak berkuasa Uzbekistan menjelaskan kanak-kanak berkenaan diberi ubat batuk jenama Dok-1 Max.

“Kesemua kanak-kanak yang meninggal dunia dilaporkan mengambil ubat berkenaan di rumah selama dua hingga tujuh hari, dengan kekerapan tiga hingga empat kali sehari, dengan sukatan 2.5ml hingga 5ml, melebihi dos untuk kanak-kanak,” menurut kenyataan kementerian bertarikh 27 Dis.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan syarikat farmaseutikal India dalam tempoh kurang tiga bulan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Okt mengeluarkan amaran global membabitkan empat ubat pediatrik yang dihasilkan Maiden Pharmaceuticals Ltd susulan kematian 70 kanak-kanak di Gambia.

Laman sesawang Marion Biotech tidak boleh diakses pada petang Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.