Krisis di Ukraine ragut hampir 7,000 orang awam

Krisis di Ukraine ragut hampir 7,000 orang awam

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 10,000 lagi orang awam cedera selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan bermula 24 Feb lalu.

Bandar Donetsk dan Luhansk di Ukraine antara paling teruk terjejas akibat serangan tentera Russia. (Gambar AP)
GENEVA:
Hampir 7,000 orang awam dilaporkan terbunuh, manakala lebih 10,000 lagi cedera selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine, menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menegaskan bahawa angka sebenar adalah “jauh lebih tinggi” tetapi sukar untuk mendapatkan data yang boleh dipercayai dari barisan hadapan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Setakat ini, seramai 6,884 orang terbunuh manakala 10,947 lagi cedera selepas Moscow melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh bermula 24 Feb.

Menurut agensi PBB dalam satu kenyataan lewat Selasa, mereka yang terbunuh termasuk 429 kanak-kanak.

“Penggunaan bahan letupan termasuk tembakan menggunakan artileri berat, sistem roket pelancar berganda, peluru berpandu dan serangan udara menjadi punca utama kematian penduduk tempatan,” menurut kenyataan itu.

Donetsk dan Luhansk dilaporkan terjejas teruk akibat krisis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.