66 daerah ditenggelami bah di selatan Thailand

66 daerah ditenggelami bah di selatan Thailand

Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) berkata ia melibatkan lebih 64,000 isi rumah di kawasan itu.

Sebanyak 66 daerah di sembilan wilayah di selatan Thailand masih dinaiki air, kata Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM). (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Hujan lebat berterusan sejak Ahad menyebabkan sembilan wilayah ditenggelami air, menjejaskan lebih 64,000 isi rumah di selatan Thailand.

Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 66 daerah di sembilan wilayah iaitu Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat, masih dinaiki air.

“Monsun timur laut yang kuat merentasi Teluk Thailand dan Laut Andaman telah menyebabkan hujan berterusan serta air sungai melimpah, banjir dan banjir kilat di kebanyakan kawasan.

“Sehingga kini, sejumlah 64,626 isi rumah di 1,425 kampung di sembilan wilayah dilanda banjir sejak Ahad,” menurut DDPM sambil menambah paras air di beberapa kawasan mulai surut.

DDPM bersama dengan agensi berkaitan akan mula menyelaraskan gerakan untuk memulakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn berkata Sungai Golok melimpah dan menenggelami banyak kawasan rendah.

“Sebanyak 29,113 isi rumah di Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan turut terjejas akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Kelantan di halaman Facebooknya mengumumkan mengenai penutupan sementara Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang- Sungai Golok dan Pengkalan Kubor- Tak Bai kerana banjir.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila kemudahan itu akan dibuka semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.