
Menurut laporan Agensi Berita Jerman dpa yang memetik FDA, kanak-kanak bawah usia lima tahun dibenarkan menerima suntikan dos penggalak bivalen.
“Kami menggalakkan ibu bapa dan penjaga yang layak untuk mempertimbangkan (mendapatkan suntikan untuk kanak-kanak) terutama ketika menjelang musim cuti dan musim sejuk, memandangkan lebih banyak masa dihabiskan dengan berada di dalam rumah,” kata Pesuruhjaya FDA Robert M Califf pada Khamis.
Menurutnya, memandangkan virus itu telah berubah, kesedaran orang ramai terhadap perkembangan terkini mengenai vaksin Covid-19 akan memberi banyak manfaat kepada lebih ramai individu, keluarga dan kesihatan awam.
“Ia membantu mencegah sakit teruk, kemasukan ke hospital, dan kematian,” kata beliau.
Kelulusan terbaru AS itu termasuk bivalen yang dihasilkan Pfizer dan Moderna. Mengikut garis panduan baharu, kanak-kanak yang telah menerima dua suntikan awal vaksin Moderna boleh mendapat satu suntikan dos penggalak bivalen.
Kanak-kanak yang belum mendapat dos ketiga vaksin Pfizer kini akan diberi penggalak bivalen tetapi mereka yang telah menerima tiga suntikan masih belum layak menerima suntikan yang dikhususkan untuk Omicron, kata FDA.
“Vaksin kekal sebagai benteng pertahanan terbaik terhadap kesan teruk seperti kemasukan ke hospital dan kematian yang disebabkan varian Omicron yang masih menular,” kata Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA Peter Marks.