
Tidak mengendahkan percubaan Castillo untuk membubarkan perundangan menerusi dekri, penggubal undang-undang meneruskan proses untuk memecatnya, dengan 101 undi menyokong penyingkirannya, enam menentang dan 10 berkecuali.
Keputusan itu disambut dengan sorakan, dan badan perundangan memanggil Boluarte, yang sebelum itu naib presiden, untuk mengangkat sumpah sebagai presiden.
Boluarte dilantik menjadi presiden hingga 2026, wanita pertama memegang jawatan tertinggi negara di Peru.
Beliau menyeru agar gencatan dicapai bagi mengatasi krisis politik yang melanda negara itu, dan berkata, Jemaah Menteri yang merentas jurang politik akan dibentuk.
Beliau mengecam langkah Castillo untuk membubarkan Kongres sebagai “percubaan untuk merampas kuasa”.
Polis Peru berkongsi di Twitter gambar Castillo di balai polis, tidak digari, selepas pengundian untuk menyingkirkannya, dengan berkata mereka terpaksa “campur tangan” untuk menjalankan tugas mereka.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada bekas presiden itu ditahan.
Castillo sebelum ini berkata, beliau akan membubarkan Kongres buat sementara waktu dan memanggil pilihan raya badan perundangan.
Langkah ini mencetuskan tindakan beberapa menteri utama dalam kerajaan Castillo meletak jawatan, dan dakwaan “rampasan kuasa” oleh pembangkang dan sekutu.
Polis dan tentera memberi amaran kepada Castillo bahawa langkahnya untuk cuba membubarkan Kongress bercanggah dengan perlembagaan.
Peru telah mengalami pergolakan politik selama bertahun-tahun, dengan beberapa pemimpin dituduh terbabit dengan rasuah, percubaan pemecatan yang kerap, dan penggal presiden dipendekkan.
Pada Oktober, pejabat pendakwa memfailkan aduan perlembagaan terhadap Castillo kerana didakwa mengetuai “organisasi jenayah” untuk mendapat keuntungan daripada kontrak negara dan menghalang siasatan.
Kongres memanggil Castillo minggu lepas untuk menjawab tuduhan beliau tidak mempunyai “keupayaan moral” untuk mentadbir.