‘Kerjasama dengan Israel’, 4 dihukum mati di Iran

‘Kerjasama dengan Israel’, 4 dihukum mati di Iran

Republik Islam itu telah lama menuduh seterunya Israel melaksanakan operasi rahsia di negaranya.

Empat tertuduh itu sebelum ini ditahan Pengawal Revolusi Iran dan kementerian risikan. (Gambar AFP)
DUBAI:
Empat orang dihukum mati di Iran kerana didakwa bekerjasama dengan perkhidmatan risikan Israel dan melaksanakan penculikan, lapor agensi berita Mehr.

Republik Islam itu telah lama menuduh seterunya Israel melaksanakan operasi rahsia di negaranya.

Tehran baru-baru ini menuduh khidmat risikan Israel dan Barat merancang perang saudara di negara itu yang kini melihat protes antikerajaan terbesar sejak revolusi pada 1979.

Mehr melaporkan empat individu itu dihukum mati kerana jenayah “bekerjasama dengan khidmat risikan rejim Zionis dan penculikan”.

“Dengan dipandukan khidmat risikan Zionis, rangkaian samseng ini mencuri dan menghapuskan hartanah awam dan persendirian, menculik orang, dan mendapatkan pengakuan palsu,” kata laporan itu.

Mehr berkata, semua tertuduh telah ditahan Pengawal Revolusi dan kementerian risikan.

Tiga lagi individu dipenjara antara lima hingga 10 tahun kerana didakwa melakukan jenayah termasuk menjejaskan keselamatan negara, bersubahat dalam penculikan dan memiliki senjata haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.