20 maut, gempa bumi kuat landa Jawa Barat

20 maut, gempa bumi kuat landa Jawa Barat

Gempa bumi bumi berukuran 5.6 pada skala Richter itu melanda bandar Cianjur menyebabkan banyak rumah, bangunan dan sekolah rosak teruk.

Gempa bumi kuat menyebabkan beberapa bangunan termasuk rumah dan sekolah di Cianjur runtuh atau rosak.
JAKARTA:
Kira-kira 20 maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat hari ini.

Agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik Indonesia melaporkan, gegaran kuat turut dirasai di Jakarta dan hingga mencetuskan panik.

Seorang pegawai kerajaan di Cianjur, Herman Suherman memberitahu MetroTV, sekurang-kurangnya 20 maut dan lebih 300 lagi cedera.

“Ini baru angka kematian di satu hospital, ada empat hospital di Cianjur. Kemungkinan jumlah mangsa akan meningkat,” katanya.

Agensi pengurusan bencana Indonesia pula melaporkan 14 penduduk maut.

Gempa berlaku pada 1.21 petang (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak 10KM dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10KM, menurut agensi itu.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak mencetuskan tsunami.

Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.

Banyak rumah dan sebuah sekolah agama berasrama di bandar itu dilaporkan rosak.

Rakaman video yang disiarkan Metro TV menunjukkan beberapa bangunan di Cianjur runtuh sama sekali dan penduduk dilihat berada dalam keadaan ketakutan.

Seorang penduduk, Muchlis berkata, gegaran sangat kuat menyebabkan dinding dan siling pejabatnya rosak.

“Saya melihat orang ramai berlari keluar bangunan. Ada yang muntah dan ada yang pengsan,” katanya kepada Metro TV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.