
Jabatan Polis Istanbul dalam kenyataan berkata, warga Syria, Ahlam Albashir mengaku menerima arahan serangan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan sayapnya di Syria, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), lapor Xinhua.
Ankara menyenaraikan PKK dan YPG sebagai organisasi militan.
Albashir berkata, dia dilatih sebagai perisik khas oleh organisasi militan dan memasuki Turki secara haram melalui Afrin di Syria untuk melakukan serangan itu, menurut polis.
Ahad lalu, satu letupan menggegarkan kawasan sibuk Istiklal Avenue di sebelah Eropah Istanbul pada 4.20 petang waktu tempatan (1320 GMT), menyebabkan enam maut dan 81 cedera.
Bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu adalah trinitrotoluene TNT, bahan letupan berkuasa tinggi, kata polis dalam kenyataan berasingan.
Agensi kerajaan Anadolu melaporkan 46 suspek, termasuk penyerang, ditahan dalam operasi polis yang dijalankan di 21 lokasi di Istanbul.
Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu Isnin melawat tempat kejadian dua kali dan meninggalkan bunga teluki (untuk memperingati mangsa korban.