Pound Sterling melonjak selepas Liz Truss letak jawatan

Pound Sterling melonjak selepas Liz Truss letak jawatan

Perletakan jawatan Truss sebagai perdana menteri susulan belanjawan mini yang dibentangkan kerajaannya serta idea beliau mencetuskan pergolakan dalam pasaran kewangan dan ekonomi.

Liz Truss menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah Britain dengan hanya 44 hari memegang jawatan. (Gambar Ap)
ANKARA:
Pound Sterling Britain mencatat kenaikan berbanding dolar Amerika syarikat (AS) selepas peletakan jawatan Liz Truss sebagai perdana menteri pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Sterling didagangkan melebihi USD1.125 pada sebelah petang selepas mencecah USD1.13 pada awal sesi.

Perletakan jawatan Truss susulan belanjawan mini yang dibentangkan kerajaannya serta idea beliau mencetuskan pergolakan dalam pasaran kewangan dan ekonomi, beberapa siri peletakan jawatan lain dan pemecatan dalam kerajaannya, serta isu disiplin dan perpaduan dalam Parti Konservatif.

Truss merupakan perdana menteri paling singkat pernah berkhidmat dalam sejarah Britain dengan hanya 44 hari memegang jawatan.

Nilai pound sterling Britain susut hampir 17% berbanding dolar AS sejak awal tahun ini, ketika negara itu berhadapan dengan inflasi yang melonjak dan bil tenaga yang tinggi.

Menurut data terkini, kadar inflasi tahunan rakyat di Britain meningkat kepada 10.1% pada Sept.

Bank of England menaikkan kadar asasnya sebanyak 50 mata asas kepada 2.25% daripada 1.75% – iaitu kenaikan ketujuh berturut-turut oleh bank pusat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.