2 ketua Rohingya ditetak hingga mati di kem pelarian Bangladesh

2 ketua Rohingya ditetak hingga mati di kem pelarian Bangladesh

Lebih 12 penjenayah Rohingya menetak Maulvi Mohammad Yunus dan Mohammad Anwar hingga maut.

Keganasan di kem pelarian Cox’s Bazar semakin meningkat dalam beberapa bulan ini. (Gambar AP)

COX’S BAZAR: Dua ketua masyarakat Rohingya di Bangladesh ditetak hingga mati oleh sekumpulan individu, kata polis hari ini, ketika tahap keselamatan di kem yang menempatkan hampir sejuta pelarian bertambah teruk.

Bangladesh menempatkan pelarian Rohingya di kem yang luar sejak mereka melarikan diri daripada operasi tentera di Myanmar pada 2017 yang kini menjadi subjek siasatan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Keganasan di kem pelarian itu semakin teruk dalam beberapa bulan ini, dengan geng cuba menguasai aktiviti pengedaran dadah dan menakut-nakutkan pemimpin awam pelarian menerusi pembunuhan serta penculikan.

Jurucakap polis, Faruk Ahmed berkata, dua pemimpin kem Rohingya dibunuh lewat malam semalam di Kem 13, yang disifatkannya salah satu serangan terburuk dalam beberapa bulan ini.

“Lebih 12 penjenayah Rohingya menetak Maulvi Mohammad Yunus, 38, yang merupakan ketua Kem 13. Mereka turut membunuh Mohammad Anwar, 38, seorang lagi majhi. Yunus mati serta-merta, manakala Amwar meninggal dunia di hospital.”

“Majhi” ialah istilah untuk ketua kem Rohingya.

Seorang pegawai kanan unit polis elit yang ditugaskan dengan keselamatan di kem pelarian itu menyalahkan pembunuhan ke atas Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (Arsa), kumpulan pemberontak yang menentang tentera di Myanmar.

“Ini adalah pembunuhan yang disasarkan Arsa. Pertempuran dalaman di Myanmar memberi kesan kepada tahap keselamatan di kem,” katanya yang enggan dinamakan.

Geng telah lama bersaing untuk mengawal aktiviti pengedaran dadah, khasnya yaba, tetapi ketua polis daerah Cox’s Bazar berkata, terdapat peningkatan keganasan.

“Dalam tempoh tiga bulan lepas saja, sekurang-kurangnya 14 etnik Rohingya dibunuh di kem. Jumlah pembunuhan dalam kem itu meningkat berbanding tahun lalu,” kata Mahfuzul Islam kepada AFP.

Seorang ketua masyarakat Rohingya dan anak saudara seorang mangsa yang dibunuh semalam turut menyalahkan Arsa atas pembunuhan itu.

“Arsa bunuh pakcik saya malam tadi. Pakcik saya pernah pesan mereka supaya tidak berurusan dengan dadah. Dia akan mengawasi rondaan secara sukarela di kem. Mereka bunuh pakcik saya,” kata anak saudara itu yang enggan dinamakan.

Arsa belum mengeluarkan kenyataan berhubung pembunuhan semalam.

Awal tahun ini, beberapa anggotanya didakwa atas pembunuhan pemimpin tertinggi Rohingya, Mohib Ullah pada September 2021. Arsa bagaimanapun menafikan pembabitannya.

Pembunuhan Ullah, yang turut diketahui Rumah Putih oleh Presiden ketika itu, Donald Trump, menyaksikan pihak berkuasa Bangladesh mengambil tindakan keras dengan menahan sekurang-kurangnya 8,000 individu disyaki anggota Arsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.