Arab Saudi beri visa umrah percuma kepada pemegang kad Hayya Piala Dunia

Arab Saudi beri visa umrah percuma kepada pemegang kad Hayya Piala Dunia

Pemegang kad 'Hayya' yang ingin menunaikan umrah dan ziarah perlu mendapatkan insurans kesihatan daripada portal visa Kementerian Luar Arab Saudi.

Visa umrah dan ziarah itu sah bagi tempoh 11 Nov hingga 18 Dis 2022.
KUALA LUMPUR:
Arab Saudi mengumumkan pemberian visa percuma bagi pemegang kad “Hayya” Piala Dunia 2022 yang beragama Islam untuk menunaikan umrah dan melakukan ziarah ke Madinah.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Visa, Kementerian Luar Arab Saudi Khaled Al-Shammari dalam satu temu bual bersama stesen TV Arab “al-Ekhbariya” pada Jumaat.

Beliau berkata, pemegang kad “Hayya” yang ingin menunaikan umrah dan ziarah perlu mendapatkan insurans kesihatan daripada portal visa kementerian.

“Visa umrah dan ziarah ini sah bagi tempoh 11 Nov hingga 18 Dis 2022.

“Selain itu, pemegang visa juga tidak disyaratkan untuk memasuki Qatar terlebih dahulu di samping pemegang kad “Hayya” juga diberikan tempoh melawat Arab Saudi selama dua bulan sehingga 11 Jan 2023,” katanya.

Kementerian Luar Arab Saudi pada 24 Ogos lalu membenarkan pemegang kad “Hayya” untuk melawat negara teluk itu selama 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.