Bank Dunia salur USD2 bilion untuk bantuan banjir Pakistan

Bank Dunia salur USD2 bilion untuk bantuan banjir Pakistan

Sebanyak USD30 bilion diperlukan untuk kerja baik pulih susulan bencana banjir terbesar melanda negara itu.

Negara Asia Selatan itu dilanda banjir terburuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini. (Gambar Reuters)
KARACHI:
Bank Dunia mengumumkan dana berjumlah USD2 bilion untuk melaksanakan semula pembinaan infrastruktur dan membantu berjuta-juta mangsa banjir di seluruh Pakistan.

Pengarah Negara Bank Dunia Najy Benhassine, mengumumkan keputusan itu semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Pakistan Ishaq Dar, di Islamabad, pada Sabtu.

Beliau berkata, peruntukan itu daripada projek pembiayaan sedia ada untuk “operasi kecemasan” bagi kawasan yang dilanda banjir, lapor Agensi Anadolu.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Bank Pembangunan Asia mengumumkan USD2.3 billion hingga USD2.5 bilion sebagai “sokongan bantuan banjir” bagi membantu Pakistan.

Negara Asia Selatan itu dilanda banjir terburuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, kira-kira USD1.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan ke kawasan yang dilanda banjir tahun ini.

Hujan lebat berbanding kebiasaan yang mencetuskan banjir luar biasa, mengorbankan hampir 1,700 orang di seluruh Pakistan sejak pertengahan Jun dan membanjiri satu pertiga negara itu.

Kemusnahan besar itu juga dijangka menelan belanja USD30 bilion untuk kerja-kerja baik pulih, menurut anggaran kerajaan.

Musim tengkujuh dan banjir besar telah merosakkan kira-kira 45 peratus kawasan tanaman negara, menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.