
Tesla memberitahu Pentadbiran Keselamatan Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA), syarikat itu akan membuat kemaskini pada perisian sistem tingkap automatik.
Kereta yang terlibat adalah yang Model 3 dari tahun pengeluaran 2017-2022, Model Y 2020-2021 dan Model S serta Model X pengeluaran 2021-2022.
Tesla berkata, sehingga kini ia tidak menerima tuntutan waranti, laporan lapangan, kemalangan, kecederaan atau kematian berkaitan masalah sistem itu.
NHTSA memberitahu, tingkap yang ditutup tanpa sistem automatik yang baik boleh menyebabkan tekanan berlebihan dengan menyepit anggota badan pemandu atau penumpang sebelum ia diturunkan, meningkatkan risiko kecederaan.
Katanya, kenderaan itu gagal mematuhi syarat standard keselamatan kenderaan persekutuan mengenai tingkap kuasa.
Ketika ujian produk pada Ogos lalu, jurutera Tesla mengenalpasti prestasi sistem tingkap automatik mempunyai “variasi yang lebih besar daripada jangkaan dalam tindak balas terhadap pengesanan tekanan”.
Selepas melakukan ujian lebih intensif, Tesla mendapati prestasi pengesanan tekanan dan penurunan tingkap tidak menepati syarat yang ditetapkan.
Kata Tesla, bermula 13 Sept, semua kenderaan yang dikeluarkan dan belum dihantar kepada pelanggan akan menerima kemaskini pada perisian untuk menetapkan operasi tingkap kuasa mengikut syarat ditetapkan.