
Lebih sedozen bot dan 700 jaket keselamatan dirampas dalam satu serbuan, kata pihak berkuasa Perancis.
Rangkaian dilaksanakan pendatang Kurdish dari Iraq itu bertapak di Lille, bandar di utara Perancis kira-kira 100km dari pantai di sekitar Calais yang dijadikan tempat melepaskan pendatang ke Britain.
Tiga lelaki warga Iraq telah didakwa bersama tiga suspek tempatan susulan penahanan mereka pada Isnin.
Xavier Delrieu, Ketua Ocriest iaitu agensi antipendatang tanpa izin berkata, polis menemui kilang yang membekalkan peralatan nautika di Lille. Hasilnya, rampasan peralatan terbesar dalam sejarah melibatkan 13 bot getah, 14 enjin sangkut, 700 jaket keselamatan, 100 pam dan 700 liter bahan bakar.
Kumpulan itu disyaki mengatur 80 pelayaran merentasi Selat Inggeris sepanjang musim panas, dengan 50 daripadanya berjaya. Malah mereka dipercayai meraih sekitar €80,000 (USD80,000) untuk setiap perjalanan.
Tangkapan berkenaan hasil kerjasama antara pihak berkuasa Belgium, Britain, Jerman dan Belanda yang berusaha mengekang pendatang asing menyeberangi Selat Inggeris menaiki bot.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas pengawal sempadan menemui sekumpulan pemuda Perancis membawa bot getah memasuki Belanda dari Jerman.
Bilangan pendatang yang menyeberangi Selat Inggeris dari utara Perancis setakat tahun ini menjangkaui jumlah direkodkan sepanjang 2021.