
Kejadian tersebut berlaku pada hari ketiga bantahan terhadap kematian wanita itu yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara.
Mahsa Amini, 22, dari Kurdish itu koma sebelum meninggal dunia selepas ditahan pihak berkuasa di Teheran pada minggu lalu, mencetuskan bantahan di beberapa lokasi di bandar itu.
Dua terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Saqez, Kurdish, bandar kelahiran Amini, lapor Pertubuhan Hak Asasi Manusia Hengaw di Twitter.
Katanya, dua lagi terbunuh akibat tembakan pihak berkuasa di bandar Divandarreh dan mangsa kelima maut di Dehgolan, wilayah Kurdish.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dan tiada pengesahan rasmi dari pihak berkuasa.
Agensi berita rasmi, IRNA melaporkan, terdapat bantahan kecil di beberapa bandar di tujuh wilayah itu yang kemudiannya disuraikan polis.
Stesen televisyen Iran turut melaporkan, beberapa penunjuk perasaan ditangkap tetapi menafikan laporan di media sosial ada mangsa yang terbunuh.
Polis berkata, Amini jatuh sakit ketika ditahan bersama beberapa wanita oleh polis moral kerana tidak mematuhi peraturan memakai tudung kepala dan tidak berpakaian ketat.
Kematian Amini mencetuskan kemarahan di seluruh negara dan Twitter dibanjiri tanda pagar #MahsaAmini yang mencecah 2 juta di laman sosial itu.