
Dua beradik itu disyaki membunuh 10 orang dan mencederakan 18 lagi dalam kejadian tikaman di beberapa lokasi membabitkan komuniti orang asli di Saskatchewan pada Ahad.
Serangan itu adalah antara insiden paling berdarah dalam sejarah moden Kanada. Polis mendakwa, beberapa mangsa disyaki disasarkan, manakala yang lain mungkin diserang secara rambang.
Damien Sanderson, 31, ditemukan mati di James Smith Cree Nation dan adiknya, Myles Sanderson, 30, “mungkin mengalami kecederaan” dan mungkin mendapatkan rawatan perubatan, kata Rhonda Blackmore daripada Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) Saskatchewan, pada sidang akhbar.
Termasuk Damien dan Myles, bilangan mangsa meningkat kepada 11 maut dan 19 cedera, kata Blackmore.
Mayat Damien ditemukan di sebuah kawasan berumput berhampiran sebuah rumah yang sedang diperiksa, katanya.
“Kami dapat sahkan dia mengalami kecederaan yang nyata, namun setakat ini, tidak disyaki ia dilakukan terhadap dirinya sendiri,” kata Blackmore tanpa menjelaskan punca kecederaan itu.
Apabila ditanya sama ada Myles disyaki membunuh abangnya, Blackmore berkata, perkara ini belum disahkan pihaknya.
“Kami tidak dapat menyatakan dalam apa cara sekalipun sama ada Myles terbabit dalam kematian Damien,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa polis masih menganggap Myles sebagai ancaman kepada orang ramai, walaupun dia cedera.
“Myles mempunyai rekod jenayah lampau yang panjang melibatkan jenayah terhadap orang dan harta benda. Kami menganggapnya bersenjata dan berbahaya. Jangan dekatinya,” kata Blackmore.
CBC News melaporkan bahawa polis di bandar Saskatoon, Saskatchewan memburu Myles sejak Mei, apabila dia berhenti berjumpa pegawai parolnya selepas menjalani hukuman kerana menyerang, merompak, melakukan perbuatan khianat dan mengeluarkan ugutan.
Perdana Menteri Justin Trudeau menyifatkan serangan itu sebagai “mengejutkan dan menyayat hati” dan berkata, beliau telah bercakap dengan kepimpinan James Smith Cree Nation dan premier Saskatchewan Scott Moe untuk menyampaikan sokongan kerajaannya.