
Beberapa jalan dan kediaman berhampiran pusat gempa rosak akibat tanah runtuh, manakala komunikasi turut terganggu di sekurang-kurangnya satu kawasan, menurut laporan televisyen kebangsaan dalam gempa yang paling kuat melanda rantau itu sejak 2017.
Tiada kerosakan dilaporkan terhadap empangan dan stesen hidrokuasa dalam lingkungan 50km dari pusat gempa, tetapi 40,000 pengguna mengalami gangguan bekalan elektrik.
Pusat gempa dikenal pasti di kawasan pergunungan Luding, 226km ke barat daya Chengdu, lapor Pusat Jaringan Gempa Bumi China.
“Orang ramai panik dan bertempiar keluar dari kediaman mereka selepas mendapat amaran gempa bumi di telefon bimbit mereka. Ada yang begitu takut sehingga menangis,” kata penduduk Chengdu Laura Lao.
“Anjing-anjing semua menyalak. Memang menakutkan.”
China News Service melaporkan gempa di Luding begitu kuat menyebabkan orang ramai sukar berdiri manakala rekahan dilihat di beberapa kediaman.
Klip video dikongsikan ke media sosial menunjukkan lampu jalanan berhayun manakala orang ramai lari keluar dari bangunan-bangunan ke atas jalan. Gempa hari ini turut dirasai di Yunnan, Shaanxidan Guizhou yang terletak ratusan kilometer dari Sichuan, menurut media kebangsaan.
Gempa bumi kerap berlaku di Sichuan, khususnya di kawasan pergunungan di baratnya yang merupakan lokasi tektonik aktif di sempadan Qinghai-Tibet.
Kejadian hari ini yang terbesar dialami di Sichuan sejak Ogos 2017 ketika gempa bumi dengan magnitud 7.0 melanda.
Kejadian paling buruk di Sichuan berlaku pada Mei 2008 apabila gempa dengan magnitud 8.0 berpusat di Wenchuan membunuh hampir 70,000 orang selain menyebabkan kerosakan teruk.