EU kecam pelanggaran hak asasi di Xinjiang

EU kecam pelanggaran hak asasi di Xinjiang

Ia susulan laporan PBB bahawa China mungkin melakukan jenayah kemanusiaan di Xinjiang.

China menafikan sebarang dakwaan kekejaman di Xinjiang. (Gambar AP)
BRUSSELS:
Kesatuan Eropah (EU) mengecam sekeras-kerasnya pelanggaran hak asasi di China, susulan laporan PBB bahawa negara itu mungkin melakukan jenayah kemanusiaan di Xinjiang.

“Kami kini menilai kandungan laporan itu, dan akan memberikan maklum balas dalam masa sewajarnya,” kata jurucakap EU dalam sidang media.

“Namun seperti telah dikatakan sebelum ini, EU sekeras-kerasnya mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dan lokasi lain di China khususnya terhadap golongan Uyghur serta minoriti agama atau etnik lain.”

Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet itu, “penahanan sewenang-wenang dan diskriminasi” Uyghur dan Muslim lain di Xinjiang mungkin boleh disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan.

Laporan dikeluarkan semalam hanya beberapa minit sebelum Bachelet tamat jawatan selama empat tahun itu berkata, pelanggaran hak asasi berlaku di Xinjiang “dalam konteks penggunaan strategi antipengganas dan antiekstremis kerajaan”.

China menafikan sebarang kekejaman berlaku di Xinjiang, dan mengeluarkan respons sepanjang 131 muka surat kepada laporan PBB sepanjang 48 muka surat itu.

“EU terus menggesa China mematuhi tanggungjawabnya terhadap hak asasi manusia mengikut undang-undang tempatan dan antarabangsa,” kata jurucakap EU itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.