2 lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel

2 lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel

Mangsa berusia 25 dan 26 tahun itu masing-masing maut dalam dua kejadian berasingan di Tebing Barat.

Sekumpulan lelaki Palestin membaling batu ke arah kenderaan tentera Israel ketika operasi di Tebing Barat, semalam. (Gambar AP)
RAMALLAH:
Dua lelaki Palestin maut dalam pertempuran berasingan dengan tentera Israel di Tebing Barat hari ini, kata kementerian kesihatan Palestin.

Lelaki pertama berusia 25 tahun dari kem pelarian al-Ein di Nablus maut ditembak di leher manakala mangsa kedua berusia 26 tahun dari kem pelarian Qalandia berhampiran Baitulmaqdis ditembak di jantungnya, menurut kenyataan kementerian.

Pihak tentera dalam kenyataan berkata maklum mengenai laporan kematian dua orang Palestin dalam operasi sepanjang malam di Tebing Barat.

Menurut kenyataan itu, dalam kejadian di kem pelarian Balata di Nablus, tentera Israel membalas tembakan, manakala di pekan al-Bireh berhampiran Ramallah, tentera bertindak balas terhadap “rusuhan ganas” selepas batu dan bom molotov dibaling ke arah mereka.

Tentera Israel melancarkan serangan hampir setiap hari di Tebing Barat sejak awal tahun ini, yang kerap berakhir dengan kematian atau kecederaan orang Palestin.

Operasi seperti itu ditingkatkan sejak beberapa bulan lalu susulan serangan orang Arab di jalanan Israel.

Israel mendakwa operasinya sebagai langkah keselamatan yang menyasarkan individu disyaki militan.

Bagaimanapun, orang Palestin menganggap serangan Israel itu sekadar mahu menghukum mereka secara “pukul rata” dan menegaskan mereka sekadar melawan penjajahan Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.