Indonesia lancar kod QR bayaran dalam kalangan negara Asean

Indonesia lancar kod QR bayaran dalam kalangan negara Asean

Ia memudahkan pengguna dari satu perkhidmatan pembayaran di republik itu memindahkan dana ke mana-mana perkhidmatan pembayaran di Asean dan sebaliknya.

Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo, berkata Thailand menjadi negara pertama yang menghubungkan sepenuhya sistem pembayaran Kod Respons Pantas Antarabangsa Standard Indonesia (QRIS) dengan Malaysia, Singapura dan Filipina komited mengikutinya dalam masa terdekat. (Gambar Twitter)
JAKARTA:
Presiden Indonesia Joko Widodo melancarkan Kod Respons Pantas Antarabangsa Standard Indonesia (QRIS) yang akan menghubungkan sistem pembayarannya ke semua negara anggota Asean.

Dibangunkan oleh bank pusat negara itu, Bank Indonesia, kod itu membolehkan pengguna dari satu perkhidmatan pembayaran di negara itu memindahkan dana ke mana-mana perkhidmatan pembayaran di Asean dan sebaliknya, lapor Xinhua.

“Sistem yang ditambah baik itu menunjukkan negara kita boleh menyesuaikan diri dengan ekonomi digital dan kita tidak jauh ketinggalan daripada negara-negara lain,” kata Widodo semasa majlis pelancaran yang disiarkan secara maya oleh Pejabat Sekretariat Presiden.

Beliau optimis QRIS antarabangsa berkenaan akan dapat meningkatkan kecekapan kos bagi pemilik perniagaan, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana serta sektor pelancongan, untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan dengan nilai kompetitif di pasaran global.

Menurut Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo, Thailand menjadi negara pertama yang menghubungkan sepenuhya sistem pembayarannya dengan QRIS. Malaysia, Singapura dan Filipina telah komited untuk mengikutinya dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.