Remaja 17 tahun catat rekod dunia juruterbang termuda kelilingi dunia solo

Remaja 17 tahun catat rekod dunia juruterbang termuda kelilingi dunia solo

Mack Rutherford berlepas dari Sofia, Bulgaria pada 23 Mac dan selepas terbang melalui 52 negara dan mencatat kira-kira 250 jam masa penerbangan.

Pencapaiannya Mack Rutherford, 17 mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai lelaki termuda keliling dunia secara solo dan menggunakan pesawat ringan mikro. (Gambar Reuters)
SOFIA:
Mack Rutherford, 17, mendarat di sini pada Rabu selepas memecahkan rekod dunia sebagai juruterbang termuda terbang solo ke seluruh dunia.

Pencapaiannya mendapat pengiktirafan Guinness World Records, yang memberikannya dua sijil sejurus selepas mendarat: individu termuda (lelaki) mengelilingi dunia dengan pesawat secara solo, dan individu termuda (lelaki) mengelilingi dunia dalam pesawat ringan mikro secara solo.

Rutherford berlepas dari Sofia pada 23 Mac lalu dan mendarat semula di sini, selepas terbang melalui 52 negara dan mencatat kira-kira 250 jam masa penerbangan.

Beliau bermula dan menamatkan penerbangannya di Bulgaria kerana mendapat penajaan daripada syarikat Bulgaria ICDSoft.

“Perjalanan lima bulan dan hakikat bahawa saya berlepas dan kembali ke Bulgaria adalah “sangat menakjubkan”, Rutherford memberitahu pemberita selepas mendarat.

“Saya sangat gembira. Ini satu perjalanan yang sangat menarik dan mengagumkan.”

Terdapat beberapa saat “yang mencemaskan” sepanjang perjalanan itu, katanya, tetapi ia tidak melunturkan semangatnya.

Rutherford, seorang juruterbang Belgium-British, dilahirkan pada 21 Jun 2005, capai usia 17 tahun semasa perjalanan itu. Beliau menetap di Belgium.

“Saya bercita-cita mahu terbang sejak berumur 11 tahun, dan telah terbang ratusan jam bersama ayah saya, yang merupakan juruterbang profesional,” katanya.

“Ketika saya berumur 15 tahun, saya menerima lesen juruterbang pesawat ringan mikro menjadikan saya pada masa itu juruterbang termuda di dunia. Sejak itu, saya juga telah melakukan dua penerbangan lintas Atlantik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.