Singapura mansuh syarat pakai pelitup muka di kawasan bertutup

Singapura mansuh syarat pakai pelitup muka di kawasan bertutup

Bagaimanapun, pelitup muka masih perlu dipakai dalam pengangkutan awam dan persekitaran berisiko tinggi, seperti fasiliti penjagaan kesihatan.

Kira-kira 70% daripada 5.5 juta penduduk Singapura pernah dijangkiti Covid-19, menurut menteri kesihatannya. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Singapura akan memansuhkan syarat memakai pelitup muka di kawasan tertutup mulai 29 Ogos, memandangkan situasi Covid-19 di negara itu semakin stabil, kata menteri kesihatannya pada Rabu.

Buat pertama kali dalam tempoh lebih dua tahun, penduduk negara bandar Asia Tenggara itu tidak lagi perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup, kecuali dalam pengangkutan awam dan persekitaran berisiko tinggi, seperti fasiliti penjagaan kesihatan.

Kementerian Kesihatannya juga mengemas kini peraturan untuk pengembara yang tidak divaksin, menggugurkan syarat tujuh hari kuarantin mulai minggu depan.

Singapura, hab kewangan dan perjalanan utama Asia, melonggarkan kebanyakan sekatan berkait wabak Covid-19, termasuk sekatan perjalanan, awal tahun ini.

Kira-kira 70% daripada 5.5 juta penduduknya pernah dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada satu sidang akhbar

Kadar jangkitan semula setakat ini “sangat rendah”, tambahnya.

Singapura telah memberi vaksin kepada lebih 90% penduduknya dan menjadi antara negara yang mempunyai kadar kematian Covid-19 terendah di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.