
Sampel air kencing Sanna Marin diuji untuk mengesan kehadiran pelbagai dadah, seperti kokain, amphetamine, kanabis dan opioid, Iida Vallin, kata penasihat khas kepada perdana menteri.
“Ujian dadah yang diambil Perdana Menteri, Sanna Marin pada 19 Ogos 2022 tidak menunjukkan kehadiran dadah,” kata pejabatnya dalam kenyataan sambil menambah keputusan itu ditandatangani doktor.
“Ia adalah ujian dadah komprehensif. Kami tidak memilih bagaimana ujian itu dijalankan,” kata Vallin.
Satu klip video tular minggu lalu menunjukkan Marin menari dan berparti dengan sekumpulan rakan serta selebriti yang mencetuskan kontroversi di seluruh dunia.
Ada yang mentafsir komen didengar dalam video itu merujuk kepada narkotik, yang hangat dikatakan di media sosial, tetapi dinafikan sekeras-kerasnya oleh Marin.
“Untuk menghapuskan sebarang syak wasangka, saya telah menjalani ujian dadah hari ini,” katanya kepada wartawan di kediamannya pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, Marin dilaporkan berkata, beliau “menghabiskan masa bersama rakannya pada malam itu” dan video berkenaan “dirakam di sebuah premis persendirian”.
Beliau mengakui minum alkohol. Tambahan kepada penafian pengambilan daah, katanya, beliau tidak menyaksikan sebarang penggunaan dadah oleh mana-mana hadirin.
“Tidak pernah dalam hidup saya, walaupun ketika muda, saya tidak pernah mengambil sebarang dadah.”
Marin – yang dilantik sebagai perdana menteri pada 2019 ketika berusia 34 tahun – sebelum ini menjadi sasaran kritikan kerana berparti di kediaman rasminya.
Pada Disember 2021, beliau dikritik selepas didedahkan berparti sehingga awal pagi, walaupun menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19.
Tinjauan yang dijalankan saluran televisyen Finland, MTV3 ketika itu mendapati 2/3 responden menganggap tindakan berparti itu ialah “kesilapan serius”.