Kardinal Vatican terkemuka dinamakan dalam kes serangan seksual Kanada

Kardinal Vatican terkemuka dinamakan dalam kes serangan seksual Kanada

Pengadu mendakwa Marc Ouellet menyentuhnya secara tidak wajar dan mengeluarkan komen-komen yang membuatkannya rasa tidak selesa.

Kardinal Marc Ouellet berdepan tuduhan serangan seksual dalam saman satu pihak membabitkan 88 anggota keuskupan Quebec. (Gambar AFP)
MONTREAL:
Kardinal Vatican Marc Ouellet menjadi paderi berpangkat tertinggi dituduh dalam dokumen mahkamah di Kanada yang didedahkan kepada umum pada Selasa, berkait saman satu pihak (class action) terhadap keuskupan Katolik Quebec atas dakwaan serangan seksual, kata peguam plaintif.

Saman itu mewakili lebih 100 orang, termasuk kanak-kanak bawah umur, yang didakwa diserang secara seksual oleh 88 paderi dan kakitangan keuskupan Quebec sejak 1940, menurut dokumen mahkamah dan siaran berita yang dikeluarkan oleh firma Arsenault Dufresne Wee.

Dalam pemfailan di Mahkamah Tinggi Quebec, seorang pengadu yang namanya tidak didedahkan mendakwa Ouellet menyentuhnya secara tidak wajar, termasuk menggosok bahu dan belakangnya, serta mengeluarkan komen-komen yang membuatkannya rasa tidak selesa.

Menurut dokumen itu, interaksi-interaksi tersebut berlaku antara 2008 dan 2010 ketika Ouellet menjadi ketua biskop Quebec dan ketua keuskupan, manakala pengadu ialah pelatih berusia 23 tahun. Ouellet tidak berdepan tuduhan jenayah.

Jurucakap Vatican tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen. Panggilan ke kediaman dan pejabat Vatican Ouellet lewat Selasa tidak dijawab, dan seorang wakil keuskupan Quebec enggan mengulas.

Ouellet kini mengetuai Kongregasi Biskop Vatican yang berkuasa menasihati Paus Francis tentang paderi mana yang harus dijadikan uskup. Ramai pakar meletakkan Ouellet dalam senarai pendek pengganti paus.

Sebagai salah seorang daripada dua kardinal Kanada yang bermastautin di Vatican, dia menemani Paus Francis dalam lawatannya ke Kanada bulan lepas.

Aduan wanita itu terhadap Ouellet difailkan terus ke Vatican pada 2021 dan ditugaskan kepada paderi Jacques Servais untuk diteliti. Wanita itu berkata, beliau masih belum mengetahui sebarang kesimpulan, menurut pemfailan itu.

Saman satu pihak itu dibenarkan pada Mei untuk diteruskan.

Arsenault berkata, beliau menjangkakan bilangan mangsa dalam tindakan itu akan bertambah selepas pemfailan pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.