Elon Musk mahu beli Manchester United

Elon Musk mahu beli Manchester United

Individu paling kaya di dunia itu mempunyai sejarah memuat naik tweet yang menarik perhatian dan tidak pasti sama ada beliau merancang untuk meneruskan hasrat itu.

Sesetengah penyokong Manchester United menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk membeli Red Devils berbanding Twitter. (Gambar AP)
SAN FRANCISCO:
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menyuarakan hasrat untuk membeli kelab bola sepak Manchester United Plc.

Individu paling kaya di dunia itu mempunyai sejarah memuat naik tweet tidak sesuai dan tidak pasti sama ada beliau merancang untuk meneruskan hasrat itu.

“Saya akan beli Manchester United, sama-sama,” tulis Musk di Twitter.

Manchester United antara kelab bola sepak yang memiliki paling ramai penyokong di dunia. Ia melakar sejarah dengan menjadi juara England sebanyak 20 kali dan tiga kali muncul juara Eropah.

Pasukan itu dimiliki keluarga Glazer dari Amerika Syarikat, yang tidak memberi respons segera terhadap perkara itu.

Kelab itu mempunyai modal pasaran USD2.08 bilion, setakat Selasa ketika pasaran saham ditutup.

Penyokong Red Devils mengadakan bantahan terhadap Glazers beberapa tahun kebelakangan ini, yang membeli kelab itu dengan harga £790 juta (USD955.51 juta) pada 2005, selepas pasukan itu bergelut dengan prestasinya di padang.

Gerakan anti-Glazer memuncak tahun lalu, selepas United menyertai rancangan pembentukan Liga Super Eropah menemui kegagalan.

Sesetengah penyokong menggesa Musk membeli Manchester United berbanding Twitter.

Musk cuba melepaskan diri daripada perjanjian USD44 bilion untuk membeli platform gergasi media sosial itu yang menyamannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.