Pengkritik politik China dipaksa masuk wad psikiatri

Pengkritik politik China dipaksa masuk wad psikiatri

Pengkritik politik ditahan di hospital psikiatri di mana mereka melalui terapi renjatan elektrik dan dimasukkan dadah, menurut laporan kumpulan hak asasi manusia.

Pengkritik politik yang tiada sejarah penyakit mental ditahan di hospital psikiatrik kerajaan. (Gambar AP)
HONG KONG:
Pihak berkuasa China memaksa pengkritik politik ditahan di hospital psikiatri di mana mereka melalui terapi renjatan elektrik dan dimasukkan dadah, menurut laporan kumpulan hak asasi manusia.

Laporan Safeguard Defenders itu dibuat berdasarkan keterangan 99 orang antara 2015 hingga 2021. Individu yang mendakwa menjadi mangsa turut menceritakan bagaimana mereka ditahan secara berasingan untuk tempoh lama, selain diikat pada katil mereka sehingga bergelumang dalam najis sendiri.

Dalam lebih separuh daripada kes berkenaan, doktor gagal melaksanakan penilaian psikiatrik sebelum menahan pesakit. Ini melanggar undang-undang kesihatan mental yang dikuatkuasakan negara itu pada 2013.

“Satu pertiga mangsa dihantar semula ke penjara psikiatri berulang kali, malah seorang daripadanya ditahan sehingga 20 kali.

“Di situ mangsa disuntik dadah secara paksa, dikenakan terapi renjatan elektrik tanpa anestetik, dipukul dan diikat ke katil dengan dibiarkan bergelumang najis sendiri,” menurut laporan itu.

Satu kes dipetik melibatkan Dong Yaoqiong, 30, yang ditahan selepas memuat naik videonya menyimbah dakwat pada potret Presiden China Xi Jinping pada 2018, sebelum wanita itu dihantar untuk rawatan psikiatri di wilayah Hunan.

Dong dipantau 24 jam dan dipaksa mengambil ubat antipsikotik dan dibebaskan selepas lebih setahun, tetapi kemudian dimasukkan ke hospital itu pada Mei 2020. Kali ini dia kerap dipukul dan diikat pada katilnya.

Selepas dibebaskan enam bulan kemudian, Dong menunjukkan tanda-tanda mengalami demensia selain mimpi ngeri pada waktu malam, menurut laporan itu. Dia kemudian dimasukkan semula ke hospital berkenaan pada awal 2021 dan lokasinya kini tidak diketahui.

Amalan menahan pengkritik yang tiada penyakit mental di hospital psikiatri di bawah seliaan polis dikenali sebagai ankang, memang dilakukan selama berdekad-dekad.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, mangsa kini turut ditahan di kemudahan kesihatan lain termasuk yang dikendalikan kementerian kesihatan China. Menurut laporan itu, sekurang-kurangnya 109 ankang dan kemudahan seumpamanya wujud di seluruh negara.

Data dihimpunkan pertubuhan bukan kerajaan China, Civil Rights and Livelihood Watch, serta dianalisis oleh Safeguard Defenders “hanya sebahagian kecil daripada yang sebenarnya,” kata penulis laporan itu Yanxin Mou.

Menteri keselamatan awam dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China tidak mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.